PKR Terengganu dijangka bertanding di lapan kerusi pada Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13) akan datang berbanding tujuh kerusi pada pilihan raya
sebelumnya.
Pertambahan satu kerusi itu dikatakan berlaku di peringkat Dun
apabila lima kerusi yang dipertandingkan sebelum ini bertambah kepada
enam kerusi, manakala Parlimen masih dikekalkan kepada dua kerusi.
Walaupun keputusan tersebut belum muktamad, Ketua Penerangan PKR
Terengganu, Azlan Che Mat turut mendedahkan melalui sumber yang boleh
dipercayai, bahawa pertambahan kerusi terbabit melibatkan Dun Bukit
Besi.
“Kita difahamkan pertambahan satu kerusi itu adalah di Bukit Besi
tetapi kita tidak dapat pastikan maklumat itu sudah melalui
perbincangan muktamad atau sebaliknya.
“Manakala di peringkat Parlimen, PKR mungkin diberikan kerusi
Parlimen Dungun dan Kuala Nerus,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Pada PRU 2008, calon PKR di Terengganu bertanding dua kerusi Parlimen
iaitu di Dungun dan Kemaman serta lima kerusi Dun iaitu Bandar,
Seberang Takir, Telemong, Permaisuri dan Kota Putera, namun kesemua
calon parti itu tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN).
Sementara itu, ditanya samada PKR mempunyai kekuatan mencukupi untuk
memastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum akan
datang, beliau yakin dengan keupayaan parti itu.
“Pertambahan dibuat atas kapasiti politik dan PKR sememangnya boleh
membantu Pas mengisi kemenangan. Kita bukan mahu ‘demand’ tetapi mahu
melihat hasrat untuk ke Putrajaya tercapai,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut berharap jika pertambahan kerusi
benar-benar berlaku, kesemua pihak dapat menerimanya dengan terbuka
tanpa sebarang bantahan. Terengganu pada Mac tahun lalu turut
menyuarakan hasrat untuk bertanding di 14 kerusi melibatkan tiga kerusi
Parlimen dan 11 kerusi Dun pada PRU13.
Hasrat tersebut bagaimanapun dikritik hebat beberapa pimpinan Pas di
peringkat negeri antaranya meminta PKR mengukur baju di badan sendiri
dan mengatakan parti itu tidak layak mendapatkan jumlah kerusi sebanyak
itu di negeri ini.
No comments:
Post a Comment