Thursday 4 April 2013

Rakyat Selangor Kecewa Wan Azizah Tidak Bertanding

PENGUMUMAN Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa isterinya yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail tidak akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang, benar-benar mengecewakan rakyat Selangor, terutama di Ijok - kawasan yang disebut-sebut akan ditandingi beliau sebelum ini.
 
Banyak yang telah disebut tentang kedatangan Wan Azizah ke Selangor, malah Menteri Besar Selangor sendiri Tan Sri Khalid Ibrahim telah membayangkan bahawa Wan Azizah mungkin menggantikan tempat beliau di Selangor seterusnya berpotensi untuk dilantik sebagai Menteri Besar Wanita Pertama di Negara ini.
 
Dengan pengumuman semalam, maka tamatlah teka teki mengenai pencalonan Wan Azizah di negeri tersebut yang menjadi bualan banyak pihak sebelum ini.
 
Bagaimanapun, laman ini melihat ada perkara yang lebih besar selain kekecewaan kerana tidak dapat melihat Wan Azizah bertanding di Selangor,
 
Isunya tentang perbalahan terbuka antara Wan Azizah dan timbalannya, Azmin Ali sehingga membawa kepada beberapa keputusan bercanggah yang tidak langsung menguntungkan PKR.
 
Terutama dalam soal pembahagian calon.
 
Dengan Wan Azizah diketepikan, itu bermaksud, Anwar telah mula masuk campur dalam soal perbalahan antara 2 kem ini dan kelihatan disitu Anwar tidak mahu mandat Azmin selaku Pengarah Pilihanraya PKR Pusat yang berkuasa menentukan calon PKR di seluruh Negara, diganggu gugat oleh sesiapa.
 
Termasuklah Wan Azizah sendiri.  Dalam erti kata lain, Anwar menyebelahi Azmin dan bersikap professional, walaupun perkara ini melibatkan isterinya sendiri. 
 
Di satu sudut, nampak jelas bahawa Anwar bijak membezakan peranan isterinya sebagai Presiden parti dan tugas Azmin Ali selaku Pengarah Pilihanraya.
 
Tapi disatu sudut yang lain pula, campur tangan ini dilihat agak terlewat kerana Wan Azizah telah mengarahkan anaknya, Nurul Izzah dan seorang Naib Presiden PKR, Tian Chua supaya melancarkan gerakan bagi menyekat Azmin dari meletakkan calon-calon pilihannya sendiri sahaja.
 
Beberapa Ketua Cabang PKR telah pun mengisytiharkan diri sebagai calon parlimen bagi kawasan masing-masing atas mandat yang diberikan Wan Azizah melalui Nurul Izzah dan Tian Chua.
 
Azmin pasti akan menggunakan sepenuhnya kuasa selaku Pengarah Pilihanraya Pusat untuk menolak pengisytiharan ini dan meneruskan dengan rancangan yang telah dibentuk sejak dari awal.
 
Laman ini bimbang, akan berlaku undi protes dari penyokong-penyokong Cabang yang dipilih Presiden tapi ditolak oleh Azmin.  Ada maklumat yang menunjukkan beberapa Cabang telah menutup bilik gerakan masing-masing kerana protes, antaranya di Johor Bahru dan Batu Pahat.

No comments:

Post a Comment